Pemilihan UMNO 1996: Profil, Prestasi dan Rekod Calon-calon Naib Presiden, 1996
Ditulis khusus untuk memperincikan profil, prestasi dan rekod enam orang calon yang bertanding Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 1996 – Najib Razak, Muhammad Muhd. Taib, Muhyiddin Yassin, Abdullah Ahmad Badawi, Syed Hamid Albar dan Ramli Ngah Talib.
Suara Bicara Melayu Baru, 1995
Menghuraikan gagasan Melayu baru yang menjadi perjuangan politik Tan Sri Muhammad Muhd Taib, ketika itu Menteri Besar Selangor Darul Ehsan dan Naib Presiden UMNO. Gagasan itu, dicetuskan oleh Dr. Mahathir Mohamad, selaku presiiiden UMNO yang dilontarkan pada Perhimpunan Agung UMNO. Muhammad yang tertarik dengan gagasan itu bukan sahaja mendakap konsep itu dan menjadikannya satu perjuangannya dalam membangunkan Selangor.
Muhammad Muhd Taib: Dari pendidik ke pemimpin, 1994
Rakaman perjalanan yang telah dilalui oleh Tan Sri Muhammad Muhd. Taib sebagai seorang yang tidak begitu dikenali di dalam politik UMNO, tetapi secara mendadak terkenal berikutan pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum 1986. Beliau tampil sebagai wajah politik baru yang memukau, mempamerkan kepimpinan yang segar sehingga berjaya menjadi Naib Presiden UMNO pada 1993.
Krisis Sultan-Menteri Besar: Apa sebenarnya terjadi, 1992
Sultan dan Menteri Besar di sembilan buah negeri di Malaysia mempunyai fungsi yang jelas seperti yang ditakrifkan oleh amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Tetapi ada kalanya krisis berlaku antara dua penyandang jawatan itu. Tulisan ini melihat sebab tersurat di sebalik krisis antara Raja dengan Menteri Besar di Kelantan, Pahang, Selangor, Johor pada 1980an dan 1990an.
UMNO Sabah: Mencabar dan dicabar, 1990
Menghuraikan sebab-sebab mengapa UMNO membuat keputusan untuk mengembangkang sayapnya ke Sabah selepas pilihan raya umum 1990. Diperkatakan di sini cabaran-cabaran yang dihadapi oleh UMNO untuk hadir di negeri di bawah bayu itu.
Politik dan Raja, 1990
Tulisan yang memperkatakan krisis antara Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dengan Raja-raja Melayu yang telah membawa kepada pindaan perlembagaan yang menjelaskan lagi fungsi dan peranan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Pandangan Politik Era Mahathir, 1990
Buku yang memuatkan temuramah pengarang dengan tokoh-tokoh utama politik Malaysia – kerajaan dan pembangkang. Wawancara itu mengungkap pandangan dan pendirian politik tokoh-tokoh berkenaan tentang isu-isu semasa ketika itu.
UMNO Era Mahathir, 1988
Buku yang meninjau pergolakan yang berlaku di dalam UMNO sehingga kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad sebagai presiden UMNO dicabar pada pemilihan parti April 1987. Menghuraikan kelahiran fenomena Team A dan Team B; perpecahan yang berlaku selepas pemilihan itu sehingga UMNO diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi.
UMNO Baru – Sejarah dan Perkembangan awalnya, 1988
Catatan ringkas tentang UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir Mohamad selepas UMNO diharamkan pada Februari 1988. Diterangkan dalam buku ini perbezaan antara UMNO lama dengan UMNO baru; latar belakang para pemimpin penajanya dan usaha Dr. Mahathir untuk mendapatkan semula sokongan ahli-ahli parti yang menentang beliau.
Politik Kompromi – satu tinjauan kerjasama Melayu-bukan Melayu, 1987
Malaysia, dulunya Tanah Melayu diasaskan pada permuafakatan politik yang diasaskan kepada tolak ansur atau kompromi antara Melayu dengan bukan Melayu. Buku ini menghuraikan asas kerjasama itu – kesediaan Melayu untuk terus menjadi tuan politik dan pemberian kewarganegaraan kepada kepada 1.5 juta penduduk bukan Melayu yang telah menukar landskap kuasa dan keunggulan politik orang Melayu itu sendiri.
Siapa Kuasa UMNO, 1987
Buku ini menghuraikan struktur kuasa di dalam UMNO seperti yang dinyatakan oleh perlembagaannya dan bagaimana kuasa itu dilaksanakan dalam dunia sebenar. Benarkah institusi yang paling berkuasa adalah Perhimpunan Agung UMNO? Atau Majlis Tertinggi? Atau Presiden? Apa pula kuasa penyandang-penyandang jawatan yang lain?
Dilema Pemuda UMNO (bersama Subky Latif), 1976. Edisi baru 1985 dikemas kini oleh Chamil Wariya.
Ini adalah buku yang ditulis sewaktu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Harun Idris berbalah dengan kepimpinan tertinggi parti, Tun Abdul Razak sehingga pergerakan itu dianggap menjadi parti di dalam parti pada 1970an. Perbalahan itu menimbulkan dilema kepada siapa juga yang memimpin pergerakan itu – menjadi pergerakan yang akur dengan parti atau bertindak sebagai kumpulan pendesak yang lantang menegakkan idealisme orang muda?
Buku (Malaysia: Kepimpinan, politik & tokoh politik, kewartawanan)
Sejak pertama kali menghasilkan buku sulungnya, berjudul Dilema Pemuda UMNO (bersama Subky Latif) pada 1976, Chamil telah menghasilkan 32 buku tentang politik Malaysia, kepimpinan, tokoh politik, hubungan antarabangsa dan kewartawanan. Senarai lengkap adalah seperti berikut:
Penulisan Berkesan Media Cetak, Elektronik dan Web, 2008
Buku ini mendedahkan audien dengan panduan panduan praktikal penulisan
dalam kewartawanan cetak, elektronik dan siber. Panduan yang diberikan akan
membolehkan mereka mengenal pasti keunikan dan ciri ciri yang berbeza tiga
genre kewartawanan itu. Di kalangan mereka yang beraspirasi untuk bekerja
dengan mana mana bilik berita organisasi media, mereka akan mendapat
gambaran serba ringkas tentang kemahiran berbeza yang diperlukan untuk
menjadi wartawan cetak, wartawan radio dan televisyen serta wartawan media
baru. Mereka akan mendapati bahawa walaupun dunia kewartawanan telah
melalui tiga gelombang cetak, elektronik dan siber tetapi asas kewartawanan
itu tidak berubah. Ia masih memerlukan warga kerja yang berkemahiran tinggi
dalam bidang penulisan.Malah dengan berlakunya konvergen atau percantuman
dalam entiti ketiga tiga bidang kewartawanan itu, penghijrahan dari satu bentuk
kewartawanan ke bentuk yang lain akan menjadi perkara biasa.
Malaysia 50 Fakta Asas Kenegaraan, 2007
Memuatkan 50 fakta asas tentang pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, meliputi maklumat umum asal usul negara; institusi pemerintahan cabang legislatif, eksekutif dan judisiari serta lambang-lambang kebangsaan.
50 Ikon Bangsa, 2007
Paparan profil 50 orang tokoh negara yang instrumental membawa Malaysia, dulunya Tanah Melayu ke tahap pembangunan yang ada sekarang dalam pelbagai bidang: politik, ekonomi, sosial, korporat, persuratan dan kesusasteraan.
In His Own Rights, Najib Razak and Malaysian Politics, 2007
Tulisan ini memperincikan kejayaan Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam politik untuk tempoh tiga dekad sejak menceburkan diri dalam politik berikutan kematian ayahanda beliau pada 14 Januari 1976. Beliau bermula dari bawah dan naik setapak demi setapak sehingga sampai ke tahap sekarang – Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan dan Timbalan Presiden di dalam UMNO.
Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo: Kisah Hidup dan Bingkisan Perjuangan, 2006
Buku yang menjadi testimoni bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup. Dr. Khir Toyo, sekarang Menteri Besar Selangor Darul Ehsan, tetapi perjalanan mendaki tangga politik, bermula dari bawah. Beliau anak seorang pesawah miskin di Sungai Burung, Tanjung Karang. Pendidikan di bawah Dasar Ekonomi Baru membuka peluang untuk menjadi doktor gigi, berbakti dalam politik dan seterusnya menjadi Menteri Besar.
Potret Peribadi Abdullah Ahmad Badawi, 2006
Buku ini adalah paparan gambaran peribadi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu zaman kanak-kanak, membesar dan bersekolah di Kelapa Batas; hubungan rapat beliau dengan datuknya, Sheikh Abdullah Fahim, ibundanya, Datuk Khailan Hassan. Juga diceritakan kehidupan beliau sebagai seorang suami menurut kacamata isterinya, allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, dua orang anak kesayangannya, Nori dan Kamaluddin.
G. Palanivel – Perjalanan ke dunia politik, 2006
Dari seorang wartawan menjadi orang nombor dua dalam politik MIC. Inilah intipati cerita G. Palanivel, ahli Parlimen Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan, anak kelahiran Pulau Pinang. Dididik untuk mengambilalih kepimpinan MIC dari Datuk Seri Samy Vellu, beliau kini berada pada kedudukan strategik untuk menjadi pemimpin masyarakat India apabila Samy berundur diri nanti.
Perjuangan Membela Melayu, UMNO Selangor 1946-2006, 2006
Tulisan ini adalah rakaman 60 tahun perjuangan UMNO Selangor sempena ulang tahun parti itu pada Mei 1946. Tidak ramai yang ingat bahawa UMNO yang telah memerintah negara bersama-sama dengan rakan kongsinya di dalam Perikatan pada mulanya, kemudiannya Barisan Nasional, sebenarnya dikandungkan di Selangor khususnya di Dewan Sultan Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur. Di dewan itulah Kongres Melayu yang pertama berlangsung. Tuan rumah kongres ialah Persatuan Melayu Selangor. Istana Besar adalah sekadar tempat kelahiran rasminya.
Najib Razak 30 tahun dalam politik, 2006
Buku ini menghuraikan perjalanan 30 tahun Datuk Seri Mohd Najib Razak di dalam politik sehingga berjaya menduduki tangga kedua di dalam kerajaan dan parti, menyamai rekod politik ayahandanya, allahyarham Tun Abdul Razak.
Endon Mahmood, Potret Srikandi Berjasa, 2006
Merakamkan kehidupan isteri Perdana Menteri, allahyarham Datin Seri Endon Mahmood sebagai Wanita Pertama Malaysia sehingga beliau meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 menurut kacamata pengarang yang mengenali allahyarham sejak 1972.
The Survivor Meets the Challange – Abdullah Badawi and Malaysian Politics, 2006
Buku pertama yang dihasilkan untuk menghuraikan detik-detik penting yang telah dilalui oleh Datuk Seri Abdullah sebelum sampai kepada kedudukan tertinggi dalam politik negara sebagai Perdana Menteri. Beliau pernah menjadi bintang yang naik, kemudian tersungkur dan bangun semula. Tiada siapa meramalkan beliau akan menjadi Perdana Menteri sewaktu berada dalam kegelapan politik.
Naik, Jatuh dan Bangun Semula – Abdullah Badawi dan Politik Malaysia, 2005
Rakaman detik-detik penting yang dilalui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam dunia politik sehingga menjadi Perdana Menteri. Politik bagi beliau bukanlah jalan yang lurus. Beliau pernah terpinggir dan terbuang pada suatu waktu sebelum sampai ke tahap sedia ada.
Dari Sungai Panjang ke Bukit Megawati, Perjalanan Politik Dr. Mohamad Khir Toyo, 2005 edisi pertama, 2005 edisi kedua
Bagi mereka yang bercita-cita besar di dalam politik, pengalaman yang dilalui oleh Dr. Khir ini mungkin boleh memberi inspirasi. Anak pesawah miskin di Tanjung Karang ini hidup susah semasa zaman kanak-kanaknya. Kemajuan dalam pelajaran membolehkan beliau menjadi doktor gigi. Beliau kemudian beralih ke dunia politik. Tanpa ditaja oleh sesiapa oleh pimpinan lebih tinggi, beliau masih boleh mendapat kedudukan tertinggi politik Selangor Darul Ehsan.
Kesinambungan dan Perubahan, Malaysia di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, 2004
Buku ini adalah rakaman 100 hari pertama pentabiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri secara agak terperinci. Rumusannya adalah: beliau mengumumkan perubahan dan pembaharuan, tetapi masih lagi diasaskan pada kesinambungan.
Perjalanan Politik PM ke-5, 2004
Ditulis berdasarkan sebuah program televisyen yang dihasilkan sempena Datuk Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Ia mengisahkan perjalanan awal Abdullah di dalam politik dan pentadbiran bermula semasa zaman memimpin Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), kemudian berkhidmat dengan kerajaan dan seterusnya menjadi ahli Parlimen.